BARANGAN yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


POLIS menumpaskan sindiket penipuan didalangi warga Nigeria apabila dua lelaki dari negara berkenaan dan wanita tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, serbuan dibuat pada 12.15 tengah hari susulan laporan polis dibuat seorang lelaki mendakwa kerugian RM21,800 akibat diperdaya sindiket terbabit.

Menurutnya, mangsa mendakwa mengenali wanita warga Amerika Syarikat (AS) melalui laman sosial Facebook (FB) yang menggunakan nama Sandra Wang.

"Lelaki terbabit berkenalan dengan wanita itu hanya melalui FB dan panggilan telefon sebelum pada 12 Januari lalu wanita berkenaan mengatakan akan datang ke Singapura.

"Pada 17 Januari lalu mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menahan kenalan wanita mangsa kerana membawa wang yang banyak," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Ali berkata, 'pegawai' berkenaan mengarahkan mangsa membuat sejumlah bayaran untuk melepaskan kenalannya sebelum lelaki itu membuat bayaran RM21,800 ke dalam dua akaun bank berbeza milik wanita tempatan.

Katanya, mangsa berasa tertipu selepas mendapati kejadian itu tidak berlaku lalu membuat laporan polis pada 20 Januari lalu.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bertindak membuat siasatan hingga membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Cheras.

"Polis menahan wanita tempatan, 25, di perkarangan kondominium itu, dan pemeriksaan di dalam rumah berjaya menahan dua lelaki tanpa pasport dipercayai warga Nigeria.

"Susulan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan termasuk 25 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba serta beberapa kad bank dan barangan lain,” katanya.

"Kesemua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Katanya, semakan mendapati satu daripada nombor telefon digunakan suspek mempunyai lima laporan polis membabitkan kes tipu di Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 10:26 PM