Pekerja melakukan kerja-kerja penyelenggaraan selepas sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air SSP 3, Ijok. (Atas kiri) Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib (tengah) bercakap kepada media. FOTO Aizuddin Saad dan Muhammad Sulaiman
Siti Salmiah A Hamid; Iskandar Shah Mohamed dan Mohd Faharkhan Abdul Ghapar
cnews@nstp.com.my

EMPAT unit pam di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Ijok, sukar dibaiki dipercayai akibat kekurangan tenaga pakar dalam Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Pengurus loji itu, Azman Abd Aziz berkata, operasi pembaikan itu perlu dilakukan secara berkala dan tidak boleh disiapkan sepenuhnya dalam tempoh singkat.

Namun, menurutnya, pam nombor tiga yang mengalami kerosakan pada injap sudah dibaiki sepenuhnya, manakala pam nombor lima yang didapati rosak sejak Disember 2016 sedang dibaiki.

"Bagi pam nombor lapan yang mengalami kerosakan 'bearing' pada Januari lalu ia gagal berfungsi sepenuhnya manakala pam nombor empat yang rosak sejak Mei 2017 belum dapat dibaiki kerana membabitkan masalah kos," katanya ketika ditemui di loji itu.

Azman berkata, kerja memperbaiki sedang dijalankan namun perlu dibuat secara berperingkat kerana memerlukan pemantauan rapi.

Difahamkan, kerja pembaikan pam nombor lima sudah dianugerahkan kepada kontraktor pada Januari lalu namun masih tertangguh ekoran isu perubahan kos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 8:52 PM