Husam
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my

PARTI Amanah Negara (PAN) akan memberi fokus untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu kuat PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden Amanah Husam Musa berkata, tumpuan PAN Kelantan pada PRU-14 bukanlah kerusi marginal sebaliknya mencari kemenangan di kawasan kubu kuat PAS sekaligus memikul tanggungjawab yang berat untuk dilaksanakan.

Menurutnya, antara kubu kuat terbabit adalah DUN Pasir Pekan, Meranti, dan Panchor lebih istimewa kerana dikuasai PAS menjadikan PAN diberikan peluang mendahului rakan-rakan pembangkang lain.

"Kerusi yang PAN bertanding juga atas kerelaan sendiri di mana ia adalah kerusi-kerusi PAS mendapat kemenangan majoriti besar walaupun nanti ada pula kata kesianlah PAN bertanding lawan PAS yang majoriti besar.

"Kenapa PAN tak bertanding di kerusi majoriti kecil, kerana memang konsep dari awal lagi untuk Kelantan, PAN kena menandingi PAS di kerusi-kerusi majoriti besar. Sama ada berjaya atau tidak itu wallahua’lam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAN di Kuala Lumpur semalam.

Ditanya mengenai jumlah pembahagian kerusi DUN dan Parlimen milik PAN yang sedikit berbanding rakan sekutu lain DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pengerusi PH Kelantan itu berkata, PAN tidak seperti PAS yang melihat jumlah kerusi untuk ditandingi.

"Apa salahnya, kita tak sama dengan PAS yang suka kerusi banyak. Dia bertanding sampai 130 (kerusi), nak menang 120 itu yang Ustaz Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Abdul Awang) kata.

"Kita ni cari ‘winnable seat’ (kerusi boleh menang) dan kemenangan secara berpasukan. Kalau pasukan kita menang kita dah jadi satu kerajaan jadi apa masalah. Takut kerusi jadi menteri kurang? Kita tak perlu tamak macam tu.

"Macam DAP, dapat 35 kerusi, dia menang hampir semua jadi kalau dapat banyak menang separuh, dengan dengan dapat separuh menang habis," katanya.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata parti serpihan PAS itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 kerusi DUN di Semenanjung dan Sabah.

Bagi kerusi Parlimen di Semenanjung, PAN memperoleh 27 kerusi, manakala PPBM bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR (51) dan DAP (35).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 7:13 PM