PELAJAR cemerlang, Siti Nur Hidayu Ahmad, 20 (kiri), Arifah Jusoh, 20 (dua kiri), Nor Aini Fatirah Hashim, 20 (dua kiri) dan Siti Nur Safiah Razak, 20 (kanan) berbincang bersama selepas mendapat keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my

“SAYA belajar sehingga sakit dan jarang meluangkan masa bersama keluarga kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Alhamdulillah pengorbanan saya berbaloi," kata Nor Aini Fatirah Hashim, 20, seorang daripada empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), Kuala Terengganu, yang memperoleh semua A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, dia tidak mensasarkan untuk memperoleh semua A dalam peperiksaan itu, namun bersyukur apabila berjaya mencapai kecemerlangan itu.

"Kegagalan pada SPM memberi pengajaran kepada saya supaya lebih berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan,” katanya yang memperoleh 2A, 3B, 2C, 2D dan 1E dalam SPM 2015.

Beliau berkata, kegagalannya mencapai keputusan terbaik dalam SPM mengecewakan ibu bapanya.

"Keluarga hanya mengharapkan saya untuk melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus menjadi anak pertama yang berjaya ke menara gading.

"Sekurang-kurangnya ada seorang di kalangan adik beradik yang layak ke universiti," katanya.

Nor Aini berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan pendidikan.

"Saya harap impian untuk ke USM menjadi kenyataan dan terus meraih kecemerlangan dalam pelajaran pada masa akan datang untuk mencapai cita-cita sebagai pensyarah," katanya.

Sementara itu, Siti Nor Idayu Ahmad, 20, dari Kampung Kolam di sini, berkata, dia tidak mempunyai rahsia tertentu untuk meraih semua A, selain memberi tumpuan 100 peratus pada sesi pembelajaran dalam kelas.

"Tumpuan ketika sesi pembelajaran dalam kelas sangat penting kerana ia akan menjadi panduan ketika mengulangkaji pelajaran di rumah.

"Dorongan ibu bapa juga berperanan dalam mendorong kejayaan saya sekarang dan berasa gembira kerana boleh menghadiahkan kejayaan itu kepada mereka," kata pelajar SMKSS itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 3:41 PM