CAHAYA dari lampu LED menerangi suasana malam di Kampung Kuala Melaka, Langkawi.
Aizat Sharif dan Hamzah Osman
news@nstp.com.my

Langkawi : Tiada apa yang mampu diungkapkan melainkan kesyukuran. Itulah luahan hati ribuan penduduk di beberapa kampung sekitar daerah ini tatkala kawasan mereka mula dilimpahi cahaya lampu jalan.

Dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2017 Peringkat Nasional di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Nelayan Chenang pada 17 Februari lalu, pemasangan lampu jalan jenis biasa atau High Pressure Sodium Vapour (HPSV) dan LED bagaikan satu hadiah yang dinanti­nantikan sejak sekian lama.

Ia adalah sebahagian daripada kemudahan asas yang diperlukan penduduk di pulau pelancongan terkemuka berkenaan.

Sejak pelaksanaan projek LJK, beberapa kampung di sini mula diterangi cahaya.

Paling indah apabila tiba waktu malam dan sekali imbas ia seperti berada di bandar besar.

Penduduk kampung ketika ditemui menitiskan air mata meluahkan rasa syukur dan gembira ekoran penantian sekian lama mereka sudah berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Berjaya, Kedawang, Sabri Saad, 53, berkata, mereka menerima 11 unit lampu LED untuk dinikmati kira­kira 200 penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, lampu LED itu dipasang dekat simpang atau laluan gelap selain kawasan selekoh terlindung.

“Tidak dinafikan penduduk di kampung ini dahagakan ilmu agama, jadi mereka sanggup menempuh laluan gelap untuk menimba ilmu. Lagipun, di sini terdapat sebuah tahfiz yang menjadi pusat pembelajaran agama.

“Amat sesuailah untuk mereka terutama keluar pada waktu malam. Jika sebelum ini ibu bapa amat bimbang keselamatan anak­anak terutama diserang binatang berbisa.

“Apa yang membanggakan kami, pemasangan lampu ini jelas sekali mengurangkan masalah sosial. Jika dahulu, banyak port menjadi tempat remaja lepak tapi sekarang, sudah berkurangan.

“Seperkara lagi, kerap berlaku kejadian pecah surau, tetapi sekarang kami yakin mereka tidak akan berani melakukan perbuatan itu lagi.

“Penduduk juga kini berani keluar malam dan keadaan ini mampu mencegah jenayah dan perbuatan tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, penghulu turut meminta tambahan antara lima dan enam lampu LED lagi untuk kemudahan warga emas yang berulang­alik ke surau setiap minggu untuk belajar agama.


NAJIB merasmikan Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2017 Peringkat Nasional di Langkawi.

Sementara itu, Setiausaha JKK Kampung Gelam, Mohamad Shukeri Saad, 55, berkata, lima unit lampu LED dipasang mampu mengurangkan ketakutan terutama kanak­kanak keluar mengaji pada waktu malam.

“Ada warga emas pulang ke rumah tengah malam. Beberapa tempat lagi masih memerlukan kemudahan ini.

“Apa yang penting anak­anak pergi sekolah awal pagi dan lampu masih menyala,” katanya.

Bagi Pengerusi JKK Kampung Temonyong, Mohamad Syukur Ismail, 48, kampungnya menikmati 10 unit lampu yang dipasang sejak tahun lalu.

“Kami terdiri dari 700 hingga 900 penduduk dan banyak aktiviti malam dijalankan di sini. Ada budak mengaji dan sebagainya, jadi mereka tidak lagi ketakutan.

“Rata­rata di sini bekerja di kampung, jadi sesuailah apabila TNB melalui kerajaan ‘menghulurkan’ sumbangan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersama TNB selaku ejen pelaksana projek membabitkan peruntukan RM100 juta di seluruh negara.

“Projek ini meliputi pemasangan 110,000 unit LJK dengan 6,333 unit daripadanya jenis LED manakala selebihnya HPSV.

“Di Parlimen Langkawi sahaja, sebanyak 537 lampu jalan kampung mula dipasang sejak Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya 27 Oktober tahun sama.

“Kemudahan ini memberi manfaat kepada hampir 53,500 penduduk dari 107 kampung. Jika siap sepenuhnya, sebanyak 8,086 unit lampu dipasang membabitkan kos RM6.12 juta di semua 15 Parlimen di Kedah,” katanya.

Bagi Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Ir Baharin Din, pihaknya berusaha keras selama 14 hingga 16 minggu untuk memenuhi permintaan pemasangan LJK di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:00 PM