Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SPRM sedang menyiasat perlakuan rasuah serta salah guna kuasa di syarikat perkapalan tempatan membabitkan nilai lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta)

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat pegawai di syarikat perkapalan berkenaan disyaki bersubahat dengan kontraktor apabila mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja penyelenggaraan kapal milik syarikat itu.

Katanya, bagaimanapun kerja penyelenggaraan berkenaan tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

"Bertindak terhadap maklumat itu, pada 28 Februari lalu SPRM melakukan serbuan terhadap syarikat berkenaan yang terletak di ibu negara dan Johor.

"Dalam serbuan itu, kita sudah merakam percakapan sembilan saksi termasuk empat pegawai kanan MISC Bhd selain merampas beberapa dokumen," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

Azam berkata, antara dakwaan yang disiasat adalah tuntutan bayaran kos pembaikan kapal tangki bernilai AS$15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanyalah AS$7.9 juta (RM30.8 juta).

Katanya, selain itu juga SPRM turut menyiasat dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses perlantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:33 PM