KENDERAAN suspek yang dirampas polis.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bh.com.my

Seremban: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang terbabit dengan kes peras ugut seorang lelaki warga India di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek masing-masing berusia 45 tahun ditahan selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menjalankan intipan jam 11 malam kelmarin.

Katanya, intipan dibuat selepas mangsa berusia 44 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit menerima ugutan daripada seorang lelaki pada Khamis lalu yang meminta RM6,000 selepas mendakwa mangsa bekerja tanpa permit sah.

“Semalam (kelmarin), jam 11 pagi, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan kerana bimbangkan keselamatan diri, mangsa memberitahu hanya mempunyai RM300 saja.

“Pada jam 8 malam hari sama, suspek menghubungi mangsa sekali lagi dan mengarahkannya meletakkan beg berisi wang itu di sebuah kedai di bandar ini,” katanya pada kenyataan, semalam.

Thiew berkata, mangsa membuat laporan polis dan hasil intipan, pihaknya menahan suspek dan menemui beg mengandungi RM300 yang diletakkan mangsa.

Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan kenderaan digunakan suspek.

“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek turut terbabit dengan empat kes peras ugut di daerah ini dan Port Dickson menggunakan taktik sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 10:09 AM