HAMIM (kiri) menyerahkan perangkap kera yang disediakan PERHILITAN.
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my

Tangkak: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima 38,236 aduan berkaitan gangguan hidupan liar di seluruh negara sejak 2012 dengan nilai kerugian cecah lebih RM16 juta.

Antara hidupan terbabit yang mencetuskan konflik dengan manusia bagi tempoh lima tahun itu ialah kera dengan 23,433 aduan, diikuti babi hutan sebanyak 4,662 aduan, selain gajah dengan 2,538 aduan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri berkata, gangguan yang membawa kepada konflik antara manusia dan haiwan boleh disebabkan pelbagai faktor termasuk pembukaan kawasan serta penempatan yang dibina berhampiran habitat asal haiwan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kelangsungan kehidupan haiwan terutama dari segi mendapatkan makanan seperti babi hutan yang sering memusnahkan tanaman, manakala kera atau beruk pula mengganggu kawasan kediaman.

“Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menerusi PERHILITAN sebagai agensi bertanggungjawab menguruskan hidupan liar ini mengambil beberapa tindakan proaktif untuk atasi masalah termasuk dengan melakukan operasi bersepadu dengan agensi lain yang berkaitan.

“Kita juga menambah bilangan perangkap kera dan babi hutan umpamanya di lokasi yang dikenal pasti berlaku konflik.

“Pengurangan konflik manusia dengan hidupan liar secara tidak langsung akan meningkatkan hasil produktiviti tanaman pertanian dan pendapatan penduduk setempat pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kesejahteraan Rakyat Kawalan Gangguan Hidupan Liar - Operasi Bersepadu Basmi Musuh Tanaman Parlimen Ledang di Balai Raya Kampung Serom 6 di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan; ADUN Serom, Abd Razak Minhat dan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Pada program itu, PERHILITAN menyerahkan 10 perangkap kera bernilai RM1,500 seunit kepada penghulu di lima mukim dalam Parlimen Ledang.

Mukim itu, Mukim Kundang-Teluk Rimba, Mukim Serom, Mukim Gersik, Mukim Kesang dan Mukim Sagil.

Ia sebagai inisiatif menguruskan konflik manusia dan haiwan.

Dalam perkembangan lain, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, kerajaan bersetuju untuk memastikan semua projek pembangunan berskala besar terutama pembinaan jajaran jalan raya, lebuh raya, landasan kereta api termasuk projek kereta api laju perlu mendapat ulasan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, terlebih dulu.

“Sebabnya, kita nak tengok impak (projek pembangunan) itu kepada habitat hidupan liar, mencari cara atau kaedah bagi mengurangkan impak terhadap hidupan liar dan bagaimana kawasan terbabit (dengan projek) itu digantikan dengan kawasan lain yang boleh dibangunkan untuk habitat baru di tempat lain.

“Akta baru tak ada lagi, tapi ini adalah pendekatan kerajaan lakukan sementara kita nak naik taraf semua akta berkaitan hidupan liar dan alam sekitar.

“Kita juga masih mendapatkan pandangan daripada pakar hidupan liar, alam sekitar, botani dan sebagainya. Dunia hari ini sudah berubah dan konflik dengan haiwan juga bertambah,” katanya.

Beliau berkata, dulu kerajaan tidak menjangkakan konflik yang serius dengan haiwan, namun kini perlu disesuaikan dengan semua jenis akta dalam negara memandangkan situasi terkini dan komitmen kerajaan terhadap peruntukan antarabangsa susulan isu itu.

“Kita mohon sangat kerajaan negeri akan bersama kementerian dalam hal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 9:36 AM