LAPORAN Harian Metro, semalam.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara agensi yang berperanan dalam usaha merubah nasib golongan asnaf menjadi individu berjaya hingga dulunya menjadi penerima zakat dan sekarang menjadi pembayar zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Paimuzi Yahya berkata, pihaknya adalah agensi yang bertanggungjawab di Wilayah Persekutuan dalam menguruskan zakat melalui pelbagai program dilaksanakan termasuk aktiviti agihan zakat.

“Agihan zakat dibuat secara langsung dilaksanakan oleh MAIWP menerusi Bahagian Baitulmal sehingga kini dibuat menerusi 28 skim bantuan zakat yang membantu asnaf daripada segala aspek merangkumi keperluan asasi, tempat tinggal, pendidikan, perniagaan, kebajikan dan dakwah.

“Bantuan ini berjalan sepanjang tahun dan bukan pada bulan-bulan tertentu saja.

“Sebagai contoh satu keluarga yang dikenal pasti tergolong dalam golongan asnaf miskin, mereka akan dibantu menerusi bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan pelajaran kepada anak-anak sehingga pengajian peringkat tinggi, bantuan perubatan sekiranya mereka ada masalah kesihatan dan bantuan perniagaan sekiranya mereka ada membuat perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Paimuzi berkata, agihan zakat yang dilaksanakan MAIWP banyak mengubah nasib penerima kepada kehidupan yang lebih baik.

“Terdapat sebahagian daripada mereka yang kini berjaya dan keluar daripada kepompong kemiskinan dan lebih membanggakan mereka kini pula berjaya menjadi pembayar zakat.

“Sebagai contoh menerusi bantuan modal dan peralatan perniagaan termasuk kursus perniagaan yang kita berikan kepada penerima Bantuan Zakat Perniagaan, mereka mampu mengembangkan perniagaan mereka dan mula menjana keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Mohd Fazari Mohd Saleh berkata, setakat ini seramai 441 penerima bantuan di bawah 2 Years Exit Programme (2YEP) berjaya ditamatkan bantuan mereka pelaksanaan program itu sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 7:57 AM