Hadzlihady Hassan dan Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam syarikat katerer yang menyebabkan 76 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mengalami keracunan makanan, Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

“Kita akan ambil tindakan sekiranya memang terbukti keracunan makanan itu berpunca daripada syarikat katering berkenaan.

“Setakat ini, kita masih jalankan siasatan serta mengumpul segala bukti termasuk menghantar sampel makanan yang dipercayai tercemar itu untuk dianalisis,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, hari ini.

Hilmi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana syarikat berkenaan mengabaikan aspek kebersihan hingga menyebabkan kakitangan HTAR keracunan makanan.

Dalam insiden 28 Februari lalu itu, kakitangan HTAR terbabit mengalami keracunan makanan kerana menikmati hidangan disediakan syarikat katerer selepas selesai mesyuarat jabatan.

Sementara itu, sebahagian besar daripada 76 kakitangan terbabit sudah dibenarkan pulang.


DR HILMI (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Tapak Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, hari ini. FOTO Mikail Ong

Pengarah HTAR Dr Ding Lay Min berkata, kakitangan terbabit mulai pulih selepas dua hari menerima rawatan.

"Masih ada beberapa kakitangan belum dibenarkan pulang kerana memerlukan rawatan, bagaimanapun saya percaya mereka akan dibenarkan pulang dalam kadar segera.

"Berkenaan pembedahan elektif yang terpaksa ditunda ekoran kekurangan kakitangan Jabatan Anestesiologi, ia akan dijalankan seperti biasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita berkaitan:

'76 kakitangan HTAR keracunan makanan'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 6:49 PM