ANGGOTA bomba memeriksa mayat mangsa.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

Johor Bahru: Lelaki berusia 38 tahun lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di sungai di Jalan Kekabu, Ulu Tiram di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, mangsa, Clement Apau dikatakan tiba-tiba tenggelam.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Mohd Sufian Mohd Lis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.54 malam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa membabitkan sembilan anggota bomba.

“Kami turut mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) iaitu empat anggota dan seorang pegawai dari BBP Tebrau dalam operasi ini.

“Mengikut maklumat awal, mangsa bersama beberapa rakannya mandi di kawasan itu jam 8 malam dan mangsa dilaporkan tidak timbul selepas berenang ke tepi sungai yang juga kawasan berlubuk dan air dalam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui anggota PPDA jam 1.38 pagi sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 2 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 4:34 AM
Skip this ad x