KEROSAKAN pada SUV dan motosikal (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Bagan Serai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


DUA remaja perempuan maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V dalam kemalangan di Batu 10 Jalan Kerian, Semanggol, Bagan Serai, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.10 petang, penunggang Nur Aimi Zahirah Ghazali 19, bersama pemboncengnya, Nurul Izzati Abdul Wahab, 19, maut serta merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa dalam perjalanan dari Semanggol menghala ke Kamunting, dekat Taiping.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dipandu wanita berusia 49 tahun.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai Pegawai Bomba Anuar Rashid berkata, salah seorang mangsa tercampak ke bawah cerun sedalam kira-kira 1.5 meter.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengangkat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 11:56 PM