DADAH dan peralatan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Machang Bubok, Bukit Mertajam, semalam.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BERKUMPUL untuk hisap dadah. Itu dilakukan sekumpulan enam individu yang menjadikan sebuah rumah di Machang Bubok, Bukit Mertajam sebagai ‘port’ untuk menghisap dadah, semalam.

Namun, semua mereka yang ketika itu sedang ‘lentok’ kerana melayan kepala selepas menghisap dadah dicekup polis ketika berada di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dilakukan pada 3.30 petang selepas polis melakukan risikan berdasarkan maklumat awam.

“Ketika diserbu, semua suspek berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan dipercayai baru menghisap dadah dan kita merampas pelbagai dadah bernilai RM970,” katanya.

Menurutnya, semua suspek terdiri empat lelaki serta dua perempuan berusia 26 hingga 34 tahun, dan pemeriksaan mendapati mereka positif dadah.

“Kita turut merampas peralatan menghisap dadah dan hasil pemeriksaan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan kes dadah.

“Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, polis percaya selain menghisap dadah, suspek turut mengedar dadah berkenaan untuk penagih sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:42 PM