SEBAHAGIAN pelajar SMKA Kuala Lipis memakai topeng muka berikutan 70 pelajar dan tiga guru mengalami penyakit beguk dilaporkan bermula sejak 20 Februari hingga semalam. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan
cnews@nstp.com.my


“SEPATUTNYA pelajar dibenarkan balik ke rumah minggu ini, tapi disebabkan penyakit beguk mereka kena kuarantin di sekolah.”

Demikian kata seorang bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lipis yang enggan dikenali ketika mengulas mengenai penyakit beguk dikesan berlaku kepada 70 pelajar dan tiga guru sekolah terbabit.

Lelaki berusia 50-an dari bandar Raub itu berkata, beliau dimaklumkan oleh anaknya melalui telefon yang menyatakan ramai dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit diserang beguk.

"Walaupun anak saya tidak kena jangkitan penyakit berkenaan, kami bimbang kerana ramai yang kena (beguk)... takut juga kalau anak saya turut dijangkiti kemudian hari.

"Saya dan isteri macam tak sedap hati, jadi kami luangkan masa petang ini untuk melawat anak di asrama,"katanya di Kuala Lipis, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian 70 murid dan tiga guru sekolah itu mengalami serangan beguk yang dilaporkan bermula sejak 20 Februari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Sha'ari Ngadiman dalam kenyataan medianya berkata, semuanya diberikan rawatan pesakit luar selepas mengalami tanda menghidap penyakit berkenaan seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan serta bengkak dan sakit di kelenjar air liur.

"Kebiasaannya, mereka yang terkena penyakit ini akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Penyakit itu disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan, air liur dan sentuhan objek tercemar dengan air liur pesakit," katanya.

Dr Sha'ari berkata, jangkitan virus berkenaan adalah biasa dalam kebanyakan kes dan akan sembuh sepenuhnya tanpa pesakit mengalami komplikasi seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari.

Sementara itu, tinjauan wartawan di luar pagar sekolah itu mendapati majoriti pelajar, guru dan kakitangan sekolah memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan daripada merebaknya penyakit beguk di sekolah berkenaan.

Difahamkan ibu bapa dan penjaga yang datang ke asrama untuk melawat anak mereka perlu mengambil langkah sama memakai topeng muka.

Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki pekarangan sekolah oleh pengawal keselamatan bagi menemui guru atau pelajar yang diserang beguk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:11 PM