Masjid Rantau Panjang, Penaga. (Gambar kecil) Wan Salim semasa menerangkan hukum berhubung isu pembinaan masjid yang menggunakan sumber haram seperti dana loteri dan sebagainya di Masjid Rantau Panjang, Kepala Batas, Pulau Pinang. Pix: Amir Irsyad Omar
Nur Izzati Mohamad
news@nstp.com.my

JAWATANKUASA Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan hukum orang Islam menunaikan solat di dalam masjid yang dibangunkan menggunakan sumber daripada ‘dana loteri’ adalah harus dan sah biarpun pembinaannya haram.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor berkata, hukum itu ditetapkan melalui hasil perbincangan bersama ahli jawatankuasa dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 18 dan 19 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, beberapa hujah dan dalil diambil untuk membahaskan isu yang mula tercetus di negeri itu hingga hasilnya fatwa menetapkan bahawa sesiapa yang menunaikan solat di dalam masjid yang dibina menggunakan dana loteri atau sumber haram adalah sah.

“Setelah meneliti keterangan serta hujah dan dalil, mesyuarat fatwa memutuskan bahawa hukum membina masjid daripada sumber haram seperti dana loteri kebajikan masyarakat adalah haram.

“Bagaimanapun, masjid yang sudah dibina daripada sumber yang haram adalah harus digunakan dan hukum yang bersolat di dalamnya juga sah serta memperoleh pahala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penjelasan mengenai isu itu bersama ahli kariah Masjid Rantau Panjang, di Kepala Batas, hari ini.

Jelasnya, hukum itu terpakai untuk seluruh masjid yang dibina menggunakan sumber loteri di Pulau Pinang dan ia akan diwartakan dalam tempoh masa terdekat supaya tidak timbul keraguan serta kemusykilan pada masa akan datang.

“Isu ini timbul sekitar tahun 1960-an, namun sejak kebelakangan ini ia mula dibincangkan anak-anak kariah hingga wujud perasaan ragu-ragu untuk bersolat di dalam masjid yang dibina menggunakan sumber haram ini.

“Oleh itu, kita tidak mahu ia berlarutan dan membuat keputusan supaya ia dapat diselesaikan segera dengan mengambil kesempatan menerangkan kepada ahli kariah dan mewartakan hukum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Rantau Panjang, Rosli Hamid, 65, berkata dia bersyukur akhirnya isu yang berlarutan lebih 50 tahun lalu diselesaikan dan dapat menarik lebih jemaah untuk bertandang mengimarahkan kawasan masjid.

“Kita akui masjid ini yang dibina dengan dana loteri suatu ketika dahulu mendapat reaksi negatif daripada anak-anak kariah dalam kawasan ini dan mula membahaskan isu itu sejak kebelakangan ini hingga ada yang bertindak pergi ke masjid di luar kawasan kariah.

“Keadaan itu membuatkan kita mengusulkan perkara ini kepada jawatankuasa fatwa dan bersyukur dengan jawapan yang diperoleh daripada mufti mengenai isu terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:23 PM