Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


WANITA warga emas cedera di muka selepas ditampar penyamun yang berang kerana tidak mendapat hasil lumayan ketika memecah masuk rumah di Taman Tan Chee Hoe, Jalan Seremban-Tampin, Seremban, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, dua suspek lelaki berusia 20-an memecah masuk rumah didiami mangsa berusia 60-an itu melalui tingkap kediaman berkenaan.

Sumber berkata, penjenayah memotong besi cermin tingkap rumah mangsa yang ketika itu sedang tidur berseorangan di dalam bilik.

"Penjenayah menerjah masuk ke bilik mangsa lalu menutup mulutnya dan seorang lagi menggeledah kediaman untuk mencari barangan berharga.

"Tetapi, mereka hanya memperoleh syiling berjumlah RM100 menyebabkan mereka berang dan menampar mangsa sambil bertanyakan di mana dia sembunyikan barangan kemas," katanya.

Menurut sumber itu, berang kerana mangsa tidak mempunyai barang kemas dan wang banyak seperti diharapkan, penjenayah naik berang dan menampar pipi kanan mangsa hingga bengkak.

Penjenayah terbabit kemudiannya meninggalkan rumah mangsa dengan menggunakan motosikal sebelum mangsa menghubungi anak lelakinya berusia 56 tahun di Sikamat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan menerima laporan kejadian dibuat mangsa di Balai Polis Sikamat, sejurus kejadian.

Katanya, siasatan dilakukan bagi mengesan dan menjejaki kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 4:44 PM