ANGGOTA SAT Polis Bantuan Prasarana, Konstabel Marzimi Yakub (kiri) bersama Konstabel Hisham Hakima Che Sidik (kanan) menahan suspek kes cabul penumpang LRT di Stesen Masjid Jamek. FOTO ihsan Rapid KL
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menahan lelaki berusia 31 tahun pada 1.35 tengah hari, Sabtu lalu selepas dipercayai mencabul penumpang wanita di dalam koc Transit Aliran Ringan (LRT), Disember lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Rapid KL, suspek ditahan ketika keluar daripada tren di Stesen Monorel Imbi, Kuala Lumpur selepas anggota unit tindakan khas (SAT) Polis Bantuan Prasarana terserempak dengan lelaki berkenaan semasa menjalankan rondaan.

"Pengecaman dibuat menerusi gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan suspek mengaku gambar ditunjukkan itu adalah wajah beliau.

"Suspek kemudian dibawa ke pejabat Polis Bantuan Prasarana untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada hari sama," katanya.

Dalam kejadian 14 Disember tahun lalu, mangsa mendakwa dicabul seorang lelaki ketika menggunakan perkhidmatan LRT dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Masjid Jamek.

Sebaik tiba di Stesen Masjid Jamek, mangsa dan polis bantuan cuba mengejar suspek, namun dia sempat melarikan diri.

Bertindak atas maklumat itu, pasukan SAT melancarkan gerakan menjejaki suspek dengan memuat turun gambar dikenal pasti menerusi rakaman CCTV.

"Pemantauan dilakukan di setiap rangkaian pengangkutan kendalian Rapid KL sehingga suspek berjaya diberkas.

“Rapid KL ingin menasihati kepada pengguna agar melaporkan terus sebarang kes jenayah kepada kapten bas, pegawai operasi di stesen atau Polis Bantuan sekiranya menjadi mangsa atau melihat kejadian seumpama ini," katanya.

Menurutnya, pengguna LRT, Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas Rapid KL boleh menggunakan aplikasi WhatApp untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah.

Katanya, pengadu hendaklah menghantar gambar bersama butiran kejadian seperti nombor tren, lokasi, tarikh dan masa ke nombor 0107664472.

“Kami akan mengambil tindakan segera berdasar maklumat disalurkan. Selain itu, pengguna boleh berhubung dengan kami menerusi aplikasi media sosial Rapid KL di Facebook dan Twitter atau hubungi talian bantuan Rapid KL.

“Bagaimanapun, tindakan memuat naik gambar kejadian seperti itu ke media sosial tanpa membuat laporan kepada Rapid KL atau pihak berkuasa akan menyukarkan siasatan.

"Suspek mungkin akan mengubah identiti ketika menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelak dikesan selain menyukarkan siasatan dijalankan tanpa kerjasama daripada semua pihak khususnya pengadu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes jenayah berjaya diselesaikan sejurus selepas laporan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:19 PM