GAMBAR hiasan
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


PENCUCI kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan bapanya menggunakan periuk dan mengugut bunuh kerana tidak berpuas hati ditegur menonton Youtube pada nada kuat, Disember lalu.

Tertuduh Muhamad Zahidin Ibrahim, 26, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan bapanya, 54, dengan menggunakan periuk nasi elektrik di sebuah rumah di Bukit Katil pada 10 malam, 23 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Zahidin didakwa menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan berkata, 'Aku jumpa kau dekat mana-mana, aku bunuh kau dan aku boleh bubuh (letak) dadah dalam badan kau' pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh berang selepas berlaku pertengkaran dengan bapanya hanya gara-gara mangsa menegurnya memasang video Youtube terlalu kuat di telefon bimbit.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 4:32 PM