MICHAEL (duduk kiri) bersama mangsa, Chua Tee Kiang (duduk kanan) dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA.
Nur Sufiah Abd Halim
News@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Impian seorang ahli perniagaan bersama 50 rakan mahu melancong ke Eropah ‘berkubur’ apabila mereka diperdaya suspek menyamar sebagai ejen pelancong di laman sosial Facebook (FB).

Tawaran pakej dan tiket penerbangan murah itu menyebabkan wang semua mangsa RM144,000 ‘lebur’ dilarikan suspek yang tidak pernah ditemui mangsa.

Mangsa, Chua Tee Kiang, 61, berkata, dia ditawarkan harga tiket penerbangan murah oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai pekerja agensi pelancong melalui laman web di FB pada Mac tahun lalu.

Katanya, dia yang mengidam untuk melancong ke Eropah selama 15 hari kemudian mengajak 50 rakannya untuk menyertai rancangannya itu.

“Saya melakukan sembilan transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank milik ‘syarikat’ itu berjumlah lebih RM133,000 antara Jun hingga September tahun lalu.

“Saya turut menempah tiket penerbangan dari Pulau Pinang ke Chennai, India untuk sembilan rakan lain melalui individu sama,” katanya dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Chua berkata, dia membuat bayaran kedua lebih RM11,000 ke dalam akaun bank sama seperti diarahkan.

“Saya pernah meminta butiran tiket penerbangan daripada lelaki bernama Melvin itu. Namun dia sering memberi pelbagai alasan dan berjanji untuk memberi segala butiran diminta itu.

“Kerana terlalu musykil, saya menyuruh anak saya pergi ke pejabat syarikat berkenaan terletak di Petaling Jaya, Selangor.

“Namun saya terkejut apabila pengawal keselamatan bertugas di bangunan itu mendakwa pejabat agensi pelancongan itu sudah ditutup operasi pada Mac tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian gagal dihubungi dan dia bertindak membuat laporan polis selepas menyedari ditipu penjenayah.

Sementara itu Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima lebih 10 kes membabitkan penipuan laman web menawarkan pakej pelancong dengan nilai kerugian RM240,000 sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:33 AM