TOH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

Melaka: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi pinjaman wang di luar kawasan dibenarkan, tiga tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Toh Kwai Lim, 37, dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Toh sebagai pemegang lesen syarikat pinjaman wang didakwa memberi pinjaman wang di tempat selain daripada alamat yang diberi kuasa di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, sekitar 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda sehingga RM50,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam Chia Cheng Ween merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah mengambil kira tertuduh memberi kerjasama membantu siasatan kes itu.

“Tertuduh memiliki lesen perniagaan dan kejadian berlaku ketika tertuduh memohon perpindahan dan pertukaran alamat bagi menjalankan perniagaan.

“Malah, sebaik anak guam saya disabit dengan kes ini, pihak itu baru mengeluarkan surat kebenaran pertukaran alamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:16 AM