RINO ditemui lemas ketika menjala ikan di Sungai Limbang berhampiran Kampung Seberang Kedai, Limbang. FOTO ihsan bomba.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


AKTIVITI menjala ikan dilakukan dua sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Limbang berhampiran Kampung Seberang Kedai, Limbang, hari ini.

Mangsa, Rino Bawin, 23, menjala ikan bersama seorang rakannya selama beberapa jam sebelum terjatuh ke dalam sungai pada 5 petang.

Lebih menyayat hati, rakannya tidak sempat membantu kerana arus sungai deras selain mangsa tidak pandai berenang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.37 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa hanyut sebelum hilang dibawa arus deras sungai berkenaan.

"Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan teknik carian permukaan sebelum menemui mayat mangsa tidak jauh dari lokasi dia terjatuh pada jam 6.27 petang.

“SAR turut dibantu penduduk kampung yang menggunakan pukat dan jala dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 9:27 PM