PELBAGAI jenis perabot kayu dirampas selepas polis menahan lelaki berusia 35 tahun di depan hotel di Jalan Leong Boon Swee, Ipoh. FOTO ihsan polis
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


POLIS menahan lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri perabot kayu dan merampas pelbagai jenis perabot berkenaan di rumah di Kampung Cik Zainal Tambahan 1, Chemor, Ipoh, hari ini.

Difahamkan, sepasukan anggota polis Bahagian Risikan (D4) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menahan suspek di depan hotel di Jalan Leong Boon Swee, Ipoh, pada 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, hasil penahanan suspek, polis menemui 11 kotak berisi pelbagai jenis perabot kayu dipercayai dicuri di dalam sebuah lori.

Katanya, suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Ipoh dan hasil soal siasat mendapati suspek menyimpan pelbagai jenis perabot kayu di rumah di Chemor.

Menurutnya, serbuan di rumah berkenaan kemudiannya menemui 33 kotak berisi pelbagai jenis perabot kayu yang disimpan di dalam rumah berkenaan dan semua barangan itu dirampas.

"Suspek membawa polis ke rumah berkenaan selepas soal siasat dijalankan dan hasilnya menemui semua barangan terbabit yang bersangkut dengan satu laporan di Chemor.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes samun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 4:06 PM