PENGUNJUNG Ekspo Muafakat Kedah tidak melepaskan peluang bergambar dan bermesra dengan maskot Didi & Friends. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LEBIH 10,000 pengunjung tidak melepaskan peluang berhibur dengan maskot Didi & Friends menerusi pelbagai aktiviti sempena Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman.

Pengunjung cilik bukan sahaja dapat menemui maskot terbabit, malah mereka turut diberi peluang menari dan menyanyi bersama maskot itu.

Pengunjung, Norbahiyah Razak, 35, sangat gembira melihat celoteh anak-anaknya yang teruja apabila bertemu dengan maskot Didi & Friends.

"Anak saya masing-masing berusia 4 dan 6 tahun, mereka adalah peminat setia rancangan animasi ni.

“Bagi saya animasi ini sangat bagus kerana menggabungkan elemen nyanyian dan penceritaan yang disertakan dengan nilai murni, semangat setia kawan dan pembelajaran santai.

"Apabila anak-anak dapat melihat sendiri di depan mata, pasti mereka yang paling gembira dan saya yakin akan jadi pengalaman bermakna untuk mereka bercerita dengan rakan-rakan di tadika," katanya.

Bagi Muhammad Izzarif Izham, 7, dia tidak menyangka akan berada di bahagian pameran Didi & Friends selain dapat membeli biskut dan cookies animasi tersebut.

"Saya seronok sangat hari ini, saya ingatkan ekspo di sini tak ada pameran untuk kanak-kanak, rupanya ada dan saya paling gembira dapat berjumpa Didi & Friends.

"Harap ibu bapa saya dapat membawa saya kembali ke sini semasa hari cuti, saya nak tengok lagi maskot Didi & Friends sebelum ekspo ni tamat," katanya.

Menurut penyelia pameran Didi & Friends, Muhd Azim Helmi Mohd Hamlen, setiap hari ribuan pengunjung akan singgah ke pameran terbabit untuk bermain di taman mainan yang disediakan selain bermesra dengan maskot animasi itu.

Pihaknya menjangkakan sebanyak 10,000 kotak biskut Didi & Friends akan terjual sepanjang ekspo itu berlangsung berikutan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Ekspo Muafakat Kedah 2018 yang bermula dari 24 Febuari hingga 3 Mac adalah acara julung-julung kali dan terbesar dianjurkan kerajaan negeri Kedah.

Pengunjung, terutama rakyat Kedah dapat melihat sendiri kejayaan pentadbiran kerajaan negeri melalui pameran 20 kluster membabitkan 119 jabatan kerajaan.

Pelbagai acara dan aktiviti disajikan sempena lapan hari ekspo ini berlangsung di khemah utama dan di perkarangan stadium.

Ekspo dimeriahkan antara lain dengan hadiah dua buah rumah menanti pengunjung bertuah, di samping 100 aneka hadiah menarik seperti tiga buah kereta, motosikal, barangan elektronik, pakej penginapan dan baucar dekorasi rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 1:31 PM