Zawawi bersama nelayan Marang dan Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

PEMANCING di negeri ini diingatkan supaya tidak menangkap ikan Kelisa dan Temoleh di Tasik Kenyir.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Zawawi Ali berkata, tidak semua ikan di Tasik Kenyir boleh dipancing dan dibawa keluar tanpa permit seperti yang difahami kaki pancing.

"Ramai pemancing yang tidak mengetahui mengenai larangan itu justeru berharap semua pihak mengambil serius mengenai peraturan itu.

"Dua jenis ikan itu disenarai dalam Jadual Pertama, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) di bawah Kaedah 3 (4) iaitu jenis ikan yang dilarang tangkap tanpa permit.

"Justeru, pemancing yang berminat untuk menangkap dua jenis ikan itu perlu memohon permit untuk tujuan itu dengan bayaran RM50 bagi setiap ekor ikan," katanya kepada pemberita pada Program Jalinan Mesra Perdana #myDOF Rakan Mesra Nelayan dan Penternak Akuakultur di sini, semalam.

Zawawi berkata, sebanyak lapan kes direkodkan sejak Januari 2016 hingga Januari 2018 di negeri ini membabitkan kes pencerobohan di kawasan larangan dan kes rampasan pukat, senapang ikan dan alat renjatan elektrik.

"Pihak kami memandang serius dengan kesalahan yang dibuat di Tasik Kenyir justeru, kami bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi penguatkuasaan undang-undang itu.

"Sebarang aktiviti menangkap, membunuh dan memiliki ikan yang disenaraikan tanpa permit boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyedari kegemaran pemancing memburu ikan-ikan berkenaan, justeru JPNT akan mengkaji semula kewajaran larangan bagi jenis ikan itu.

"Memandangkan jenis-jenis ikan itu sudah berjaya dibiak, mungkin boleh dipertimbangkan semula untuk memberi kelonggaran menangkapnya pada masa akan datang," katanya.

Pada program itu seramai 500 nelayan di sekitar Marang dan Kuala Terengganu memeriahkan program dengan sesi soal jawab bersama Zawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 2:04 PM