Zainab Daud, 73, ketika ditemui selepas pertandingan Tilawah Al-Quran 2018 di bawah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Balai Islam, Lundang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
news@nstp.com.my


BUTA sebelah mata tidak menjadi penghalang seorang warga emas untuk mengalunkan ayat suci al-Quran dalam tilawah yang disertainya.

Berstatuskan orang kurang upaya (OKU), Zainab Daud, 73, yang buta mata kiri tidak meletakkan kekurangan itu untuknya terus memperdengarkan bacaan dengan menyertai banyak pertandingan tilawah al-Quran.

Beliau yang hanya mampu melihat dengan sebelah mata sejak lahir berkata, membaca al-Quran diibaratkan seperti makanan harian malah, seolah-olah hidupnya tidak lengkap jika tidak membaca al-Quran walau untuk satu hari.

"Walaupun hanya menggunakan sebelah mata, saya masih mampu melihat, bukan buta sepenuhnya malah, membaca al-Quran ini diibaratkan seperti makanan dan pakaian yang perlu ada setiap hari.

"Sedangkan orang yang buta kedua-dua mata mampu membaca al-Quran, kenapa saya tidak boleh? Kekurangan sekecil ini jangan dijadikan penyebab menyukarkan amalan baik," katanya ketika ditemui di majlis perasmian menghafaz dan tilawah al-Quran 2018 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Zainab yang mula membaca ayat suci sejak kecil lagi sudah lebih 10 tahun mengajar kanak-kanak di sekitar kampungnya di Kampung Pasir Berangan, Pasir Mas mengaji al-Quran serta taranum.

Selain itu beliau yang juga ibu tunggal aktif menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan kerap muncul sebagai johan.

"Saya kerap menyertai pertandingan tilawah al-Quran di bawah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan banyak kali muncul johan dan untuk pertandingan peringkat negeri pula hanya sekali menjadi johan iaitu pada 2012.

"Saya tidak menggunakan al-Quran Braile dan tiada keperluan khusus diberikan kepada saya sebaliknya hanya meminta supaya dilaraskan rehal sedikit tinggi supaya saya dapat lihat lebih jelas huruf dalam al-Quran," katanya.

Seramai 22 peserta tilawah al-Quran dan 30 hafazan mewakili seluruh daerah di negeri ini menyertai pertandingan itu dan majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:57 AM