MOHD Hazwan Mat Zabidi 29, menunggu jenazah adiknya Mohamad Haniff Mat Zabidi,24, yang ditemui orang awam di dalam hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


“ADIK memang minat memikat burung sejak dulu lagi dan apa yang saya tahu dia masuk ke dalam hutan pada Ahad lalu untuk memikat burung.

"Saya sudah lama tidak berjumpanya kerana saya bekerja di luar kawasan dan kali terakhir bertemu sebulan lalu, adik tidak menunjukkan apa-apa perubahan sikap ketika kami berjumpa ketika itu," kata Mohd Hazwan Mat Zabidi, 29.

Mohd Hazwan adalah abang sulung kepada Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di dalam hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, kira-kira 4 petang semalam.

Sumber memberitahu bedah siasat dijalankan turut menemui kesan tembakan di bahagian kepala mangsa.

Menurut Mohd Hazwan, dia hanya mengetahui adiknya itu tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Charok Kapas, Baling, Kedah, pada Rabu lalu sebaik pulang untuk menguruskan jenazah ibu tiri mereka yang meninggal.

Katanya, penduduk kampung serta orang ramai kemudiannya cuba mencari adiknya sebelum mayatnya ditemui di kawasan hutan berkenaan.

"Motosikal adik juga ditemui, namun jauh dari lokasi mayatnya ditemui, saya rasa dia masuk ke dalam hutan untuk memikat burung dan meninggalkan motosikalnya di situ.

"Kami sekeluarga juga tidak tahu sama ada dia masuk ke dalam hutan itu secara berkumpulan atau berseorangan," katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Mohd Hazwan berkata, jenazah adiknya yang juga anak kelima dari enam beradik itu akan dikebumikan selepas solat Asar hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Charok Kapas di Baling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa memasuki hutan itu untuk memburu dan tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu.

"Forensik polis juga sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Berita berkaitan

Jumpa mayat dalam hutan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 3:30 PM