Mohd Riban menunjukkan penutup sarang kelulut yang dilarikan pencuri Sabtu lalu.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kuala Nerang: Pengusaha madu kelulut di Jelutong Kelulut Madu (JKM) Trigona Agro Farm di Kampung Barokhas di sini, berputih mata apabila sarang kelulutnya dicuri buat kali kedua berikutan nilainya tinggi di pasaran.

Menurut Mohd Riban Zainon, 42, dia kerugian lebih RM3,000 apabila tiga sarang kelulut miliknya dikebas pencuri, Sabtu lalu.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian sama yang pernah berlaku dua tahun lalu berulang selepas 10 sarang kelulut yang diletakkan di pekarangan rumahnya dicuri.

“Di taman ini ada 60 sarang kelulut dan walaupun dipasang pagar namun pencuri masih mampu mengangkut sarang itu.

“Kecurian terbaru berlaku jam 4.30 pagi ketika saya sekeluarga nyenyak tidur. Hanya anak saya yang terjaga apabila mendengar deruman enjin kereta di tepi pagar.

“Dia nampak kelibat dua lelaki di dalam kereta namun keadaan gelap membataskan penglihatannya,” katanya ketika ditemui di JKM Trigona Agro Farm di sini, semalam.

Mohd Riban berkata, pencuri meruntuhkan pagar dan mengangkut sarang yang ringan dan kecil.

Katanya, sarang itu kini dipenuhi madu dan dijangka dapat diambil beberapa hari lagi sementara menunggu madunya matang.

“Madu kelulut di Padang Terap dan Sik adalah madu paling berkualiti di Semenanjung, harga sekilogram madu mencecah RM200 berbanding madu kelulut dari kawasan lain. Ini kerana dua daerah ini masih mempunyai bunga dari hutan tebal.

“Selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 6:30 AM