Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini mendenda RM1.05 juta terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang yang mengaku bersalah atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM210,000 daripada sebuah syarikat di antara 2014 sehingga 2016.

Hakim Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman penjara dua minggu ke atas Mohd Shukri Abdul Rahman, 55, yang meletak jawatan sebagai COO Rapid Penang pada November tahun lalu.

Mohd Shukri dituduh menerima suapan wang tunai dalam tiga transaksi daripada Syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd sebagai dorongan mengeluarkan surat pelantikan syarikat itu bagi projek membangunkan, reka bentuk, pengeluaran, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan waranti untuk Sistem Simulator Bas Prasarana dianggarkan bernilai RM8.4 juta.

Transaksi pertama dilakukan pada 12 Mac 2014 di Hong Leong Bank cawangan Beserah, Kuantan membabitkan wang tunai RM100,000 dimasukkan melalui akaun Hong Leong Bank milik rakannya manakala dalam transaksi kedua sejumlah RM40,000 dimasukkan melalui akaun CIMB Bank milik isteri tertuduh di CIMB Bank cawangan Pekan pada 20 Jun 2016.

Transaksi ketiga membabitkan wang tunai RM70,000 melalui akaun Maybank milik seorang daripada kakitangannya di Maybank cawangan Penang Times Square, Georgetown, Pulau Pinang pada 20 April 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada Ogos tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan serta Georgetown terhadap 42 pertuduhan rasuah berjumlah RM508,418 diterima daripada beberapa syarikat bermula 2013 sehingga 2017.

Daripada 42 pertuduhan berkenaan, tiga daripadanya dibacakan semula dalam prosiding hari ini termasuk satu pendakwaan dibuat di Mahkamah Sesyen Georgetown membabitkan rasuah berjumlah RM70,000 yang dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan.

Dazuki berkata, baki 39 pertuduhan dihadapi tertuduh akan diambil pertimbangan oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili Datuk Shukri Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 3:41 PM
Skip this ad x