GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Lepas gian di tapak rumah terbengkalai. Itu dilakukan tiga lelaki yang menjadikan sebuah rumah tidak siap di Kampung Pertama, Bukit Mertajam.

Bagaimanapun, perbuatan mereka yang berusia 23 hingga 44 tahun itu terbongkar apabila polis menyerbu rumah terbabit jam 4 petang, kelmarin.

Ketika serbuan, tiga lelaki berkenaan yang masing-masing bekerja di kedai makan, kantin dan juga pesawah itu dikatakan sedang leka menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan terbabit dilakukan enam anggota Balai Polis Seberang Jaya selepas menerima maklumat dan juga melakukan risikan.

“Ketika serbuan, semua suspek memberikan kerjasama serta tidak melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan kita menemui empat bungkusan plastik lutsinar dan lapan straw mengandungi dadah dipercayai heroin,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan menghisap dadah iaitu gulungan kertas timah, alat penimbang, pemetik api dan gunting.

“Semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 1:04 PM