Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebatang anak Pokok Ipoh ditanam semula semalam, di lokasi asal pokok sama yang tumbang akibat ribut di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini, pada April tahun lalu.

Pokok Ipoh atau nama saintifiknya ‘Antiaris toxicaria’ berusia 34 tahun yang tumbang sebelum ini menjadi simbolik atau ikonik kewujudan Bandaraya Ipoh dan begitu dekat di hati bukan saja kalangan warga bandar raya ini, malah seluruh rakyat Perak.
Penanaman semula pokok itu menggunakan anak benih dan spesies pokok yang sama dengan pokok yang ditanam sebelum ini disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Majlis itu turut disaksikan semua pihak yang berkepentingan termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zambry ketika ditemui kemudian berkata, pokok baru ditanam itu diharap dapat terus tumbuh subur dan menjadi lambang untuk Bandaraya Ipoh.


DR Zambry (tiga kiri) menanam Pokok Ipoh di Dataran Stesen KTM.

Katanya, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada masa sama akan terus memberi perhatian bagi menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai bandar raya yang bersih dan tersusun.

“Kelemahan pada beberapa aspek terutama landskap sedia ada akan diperbaiki dan diperindahkan lagi.

“Melalui kerjasama MBI, kita juga mengambil pendekatan untuk menanam lebih banyak pokok yang berasal negara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penanaman semula anak pokok berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Zambry berkata, seiring dengan itu kerajaan negeri akan turut memastikan Ipoh sentiasa terus memenuhi kriteria sebagai Bandaraya Perniagaan Sosial.

“Diharap dengan pengiktirafan dunia yang diterima Bandaraya Ipoh ketika ini akan dapat dikekalkan melalui program yang diaturkan untuk mengekalkan Ipoh sebagai Bandar Perniagaan Sosial,” katanya.


POKOK Ipoh tumbang akibat hujan lebat dan angin kuat tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:22 AM