REMAJA lelaki terbabit dalam membelasah bekas teman wanita bersama pasangan barunya, dibawa ke Mahkamah Majistret Miri untuk perintah reman. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


BERANG teman wanitanya 'dirampas', remaja lelaki bersama dua rakannya bertindak membelasah bekas kekasih dan pasangan baharunya dalam kejadian di Jalan Nakhoda Gampar, Miri, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, perbuatan suspek bersama dua rakannya itu, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun, terbalas apabila mereka ditahan polis di Pujut, di sini, 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata, kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu dibelasah menggunakan kayu hoki dan besi oleh kumpulan terbabit hingga mengalami kecederaan.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa remaja perempuan mengalami kesan lebam di pergelangan tangan, manakala pasangannya mengalami kecederaan di bahu kiri.

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan cemburu apabila seorang suspek mendakwa teman wanitanya iaitu mangsa ‘€˜dirampas' oleh mangsa lelaki terbabit. Semua suspek ditahan selepas mangsa lelaki membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Pusat Miri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebelum direman untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan objek merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 6:08 PM