ULAR sawa sepanjang 0.5 meter di dapur sebuah rumah.
HM Digital

Port Dickson: Seorang wanita terkejut menerima tetamu tidak diundang seekor ular sawa sepanjang 0.5 meter ketika sibuk membuat kuih di dapur rumahnya di Taman PD Utama di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi, reptilia berkenaan dipercayai masuk ke dalam rumah peniaga kuih berusia 40-an itu bagi mencari makanan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Port Dickson, Staf Muda Muhammad Hafizuddin Imam Suwarni berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.10 pagi dan bergegas ke lokasi bersama seorang lagi anggota.

“Sebaik tiba kami mendapati ular sawa terbabit berada di bawah singki dan ditangkap empat minit kemudian dengan menggunakan peralatan khas.

“Haiwan liar itu dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan menghubungi pihak berkaitan yang berkemahiran dalam mengendalikan kes kediaman diceroboh haiwan berbisa terutama ular bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 5:31 AM