PENDATANG warga Myanmar yang ditahan dalam sebuah kenderaan.
HM Digital

Kota Bharu: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika menaiki sebuah kereta di Stesen Bas Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, kelmarin.

Mereka diberkas sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan kira-kira jam 4.20 petang, selepas turun dari sebuah bas ekspres dan menaiki kenderaan lain.

Pengarah JIM Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, terdahulu pihaknya dan AKSEM mengesan tujuh PATI dari Myanmar berusia 25 hingga 35 tahun itu tiba dengan bas ekspres pada jam 3.30 petang.

“Hasil pemerhatian mendapati, sebuah kenderaan Honda Accord dilihat muncul berhampiran stesen bas terbabit.

“Seorang daripada tujuh PATI itu kemudian pergi ke arah pemandu kereta berkenaan selepas dipanggil dan dilihat bercakap-cakap sebelum memanggil enam yang lain,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Selepas mengisi beg ke dalam but kereta, tiga warga asing dan pemandu masuk ke dalam kereta, manakala yang lain menunggu di luar kenderaan.

Tanpa membuang masa, pasukan AKSEM dan JIM terus menyerbu serta memberkas semua lapan individu terbabit.

“Pemandu yang juga warga tempatan berusia 32 tahun ditahan sementara di lokap Balai Polis Tanah Merah.

“Tujuh PATI itu pula dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:42 AM