Ahli PPBM sendiri tidak setuju pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

SERAMAI 150 pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyerahkan memorandum membantah pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Mereka menyerahkan memorandum dua muka surat itu kepada Anwar yang menjalani pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur selepas pembedahan bahu kanan pada November tahun lalu.

Bekas Exco Pemuda PPBM Muhd Syazwan Ahmad Zainal berkata, antara intipati utama memorandum berkenaan adalah meminta campur tangan Anwar bagi menyelesaikan kemelut dihadapi komponen dalam pakatan pembangkang.

"Kami meminta Datuk Seri (Anwar) melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kekacauan sesama parti yang berlaku di dalam PH termasuklah isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih berlarutan sehingga ke hari ini.

"Pemuda PPBM tidak bersetuju apabila PH meletakkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH kerana seperti diketahui, PPBM adalah penyokong reformasi Anwar.

"Tun pula semasa pemerintahannya telah menentang Anwar jadi sudah tentulah kami tidak dapat menerima sekiranya beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri PH," katanya.

Menurut Syazwan, sebagai individu yang bertanggungjawab mewujudkan PH, Anwar yang juga Ketua Umum PKR mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk melakukan sesuatu daripada terus melihat PH terus dipergunakan Dr Mahathir untuk mencapai matlamatnya.

"Dr Mahathir hanya menggunakan PH untuk kembali berkuasa di Putrajaya kerana ada kepentingan yang hendak dicapai," katanya.

Tambahnya, memorandum itu diserahkan kepada wakil Anwar iaitu Setiausaha Cabang PKR Bahagian Bandar Tun Razak pada jam 2.45 petang sebelum mereka bersurai 15 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 9:36 PM