Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my

SEKUMPULAN ahli arkeologi dan sejarah Universiti Sains Malaysia (USM) menemui dua laras meriam di tapak arkeologi Fort Cornwallis di Georgetown, semalam yang dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun.

Pengarah Pusat Arkeologi USM, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata penemuan terbaharu itu mungkin mengubah sejarah asal Fort Cornwallis yang dikenali sebagai Kota Keamanan.

"Kedua-dua meriam yang mempunyai simbol GR ini dipercayai digunakan pada era King George III dan ia juga seperti jenis sama yang kita jumpa di Bukit Bendera.

"Bagaimanapun, berpandukan peta asal Fort Cornwallis pada tahun 1877, ia langsung tidak memberitahu mengenai kewujudan dan kedudukan meriam berkembar ini.

"Justeru, ia menimbulkan tanda tanya mengenai peranan sebenar kubu ini yang lebih dikenali sebagai Kota Keamanan," katanya ketika ditemui hari ini.

Ahli arkeologi dan sejarah USM membersihkan dua meriam dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun. FOTO Danial Saad

Meriam berlainan saiz yang berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter itu dijumpai empat ahli arkeologi bersama tujuh pembantu, kira-kira jam 2 petang semalam di atas tapak arkeologi seluas lebih 0.4 hektar.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata, pada asalnya pihaknya melakukan kerja arkeologi bagi mencari pintu asal Fort Cornwallis yang dipercayai mempunyai lebih banyak artifak bersejarah.

Katanya, kerja arkeologi yang bermula sejak Ogos tahun lalu itu bagaimanapun masih belum menemui pintu bersejarah berkenaan.

"November lalu kita jumpa peluru meriam, namun dengan saiz yang lebih kecil. Tidak sangka pula kita dapat jumpa dua meriam berkembar ini.

"Selepas ini kedua-dua meriam ini akan dibawa ke USM dalam tempoh terdekat bagi tujuan mencari lebih banyak data dan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 7:45 PM