COP keselamatan imigresen palsu yang dirampas daripada suspek di Gombak, semalam. FOTO Ihsan JIM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan cop keselamatan imigresen yang didalangi lelaki warga Pakistan selepas menahan suspek di Sri Gombak, Gombak, malam semalam.

Dalam serbuan 8 malam, dua lelaki, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan seorang wanita warga Pakistan dipercayai adik-beradik turut ditahan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemeriksaan pada badan dan kediaman suspek menemui cop keselamatan keluar masuk palsu dan cop keselamatan Singapura.

Katanya, turut ditemui cop nama pegawai kanan imigresen, beberapa pasport antarabangsa, pelekat keselamatan dan salinan 'Special Pass' disyaki bagi tujuan pemalsuan dokumen.

"Aktiviti pemalsuan ini dipercayai didalangi lelaki warga Pakistan berusia 26 tahun yang aktif sejak lebih setahun lalu.

“Suspek mengenakan caj RM200 bagi khidmat 'special pass' palsu, manakala RM100 bagi cop keselamatan keluar masuk pintu negara.

"Warga asing yang tinggal melebihi masa di negara ini hanya perlu mendapatkan 'special pass' atau cop keluar masuk daripada sindiket tanpa perlu melalui JIM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek hanya akan berurusan dengan pelanggan dikenali sebelum berjumpa dengan pelanggan di lokasi tertentu.

"Suspek utama akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu membuat atau memalsukan atau meminda suatu dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 6:35 PM