Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my

TERUJA apabila telefon pintar, iPhone dijual sangat murah, seorang lelaki berputih mata selepas kerugian RM500 akibat diperdayakan sindiket penipuan jualan barang di laman sosial.

Sindiket terancang itu dipercayai bergerak aktif di wilayah utara Sarawak.

Susulan itu, mangsa yang berusia 31 tahun membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri kelmarin sejurus menyedari ditipu.

Sumber memberitahu, mangsa sebelum itu melihat iklan jualan telefon berkenaan yang disebarkan melalui aplikasi WeChat, termasuk menawarkan kempen harga durian runtuh bagi beberapa model iPhone sempena Tahun Baru Cina.

“Dalam laporan polis dibuatnya, mangsa menghubungi jurujual terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran itu sebelum bersetuju membeli telefon berkenaan pada harga RM500.

“Mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan ke akaun bank individu terbabit sebelum diminta menunggu selama empat hari bagi proses penghantaran telefon itu ke alamat diberikannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, sumber berkata, mangsa mula curiga selepas gagal menghubungi individu terbabit beberapa hari selepas itu bagi mendapatkan perkembangan terkini tempahannya. “Sehingga kini, mangsa masih belum menerima telefon bimbitnya, malah nombor yang diberikan peniaga itu juga sudah dinyah aktifkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:44 PM