Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


UGUTAN penjara dan reman selama 40 hari menyebabkan mangsa penipuan Macau Scam takut, lalu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun sindiket terbabit hingga mereka kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, sebaik mendengar mereka akan dipenjara dan direman tempoh panjang, mangsa terus mengikut semua arahan sindiket yang kononnya boleh menyelesaikan masalah yang berlaku.

Katanya, cara itu menyebabkan wang simpanan mangsa hilang dalam sekelip mata selepas memasukkan kesemuanya dalam akaun yang diberikan sindiket.

"Sepanjang tahun lalu hingga Januari lalu, seramai 42 mangsa yang terpedaya dengan penipuan Macau Scam yang membabitkan jumlah kerugian lebih RM1 juta.

"Kebanyakan mangsa adalah penjawat awam dan usahawan wanita yang berusia 40 tahun ke atas termasuk mereka yang berpencen serta mempunyai kedudukan kewangan kukuh," katanya kepada NSTP ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, sindiket Macau Scam akan menghubungi mangsa secara rawak dengan menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan mereka mempunyai tunggakan pinjaman peribadi yang tidak dijelaskan walaupun hakikatnya mangsa tidak pernah membuat sebarang pinjaman bank sebelum ini.

Katanya, pemanggil akan membaca maklumat mangsa secara terperinci dan mendakwa ia turut digunakan oleh pihak ketiga sebagai penama pinjaman peribadi hingga menyebabkan nama disenarai hitam.

"Suspek akan mengarahkan mangsa membuat laporan polis dengan segera dan menyambung talian kepada suspek kedua kononnya bertindak sebagai pegawai polis yang boleh mengambil laporan mangsa.

"Suspek kedua akan memaklumkan mangsa juga terbabit dengan penggubahan wang haram serta kesalahan dadah yang mencecah ratusan ribu ringgit," katanya.

Katanya, mangsa takut dengan ugutan itu dan pemanggil akan mengambil kesempatan dengan mencadangkan supaya memasukkan semua wang simpanan ke satu akaun milik suspek ketiga bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.

"Sebaik menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dengan harapan boleh mendapatkan kembali wang mereka. Polis akan membuat siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, namun agak sukar untuk menjejaki suspek kerana semua urusan hanya berjalan menerusi panggilan telefon dan dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:44 PM