Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

Rembau: Pelbagai bahan kimia untuk menghasilkan syabu seberat 839.56 kilogram (kg), selain dadah seberat 73.82kg dirampas di Kampung Kundur Tengah, Pedas dan Selangor pada 13 serta 14 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ia adalah hasil serbuan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, ia bermula dengan serbuan di sebuah makmal memproses syabu di kampung itu pada jam 4.15 petang pada 13 Februari lalu yang berjaya menahan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga India berusia 29 hingga 40 tahun.

Katanya, hasil serbuan itu, pelbagai peralatan memproses dadah dan 84kg cecair meth yang boleh menghasilkan 33.6kg syabu dirampas.


Sebahagian barangan makmal memproses dadah yang dirampas.

“Kemudian disusuli lima serbuan terhadap ahli sindiket dilakukan di Kajang, Batu Caves dan Ampang, Selangor yang berlanjutan sehingga jam 4.30 pagi pada 14 Februari.

“Seorang lelaki berjaya ditahan dalam serbuan di Bandar Teknologi Kajang dan merampas 324.6kg serbuk, cecair dan ketulan disyaki dadah serta pelbagai bahan kimia untuk memproses bahan larangan berkenaan.

“Dalam serbuan selanjutnya, kami menahan empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 25 tahun di Bandar Teknologi Kajang dan Sungai Jelok (Kajang),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, semalam.

Menurut Mohmad, dalam serbuan di Batu Caves selepas itu berjaya menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 37 dan 51 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 5:19 AM