Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


SINDIKET pengedaran dadah terbesar di negeri ini tumpas apabila dadah dibungkus menggunakan pembalut teh Cina bernilai RM3.7 juta dirampas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah rumah di Malim, Melaka, Sabtu lalu.

Selain dadah disorokkan dalam tong ais itu, polis turut menahan lapan suspek warga tempatan termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun dalam dua serbuan di dua rumah antara 2.30 pagi hingga 6.30 petang, hasil maklumat serta risikan.

Pengarah JSNJ Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, antara dadah dirampas adalah 52.82 kilogram (kg) syabu, 33 gram ketamin dan sebiji pil ekstasi.

“Polis turut merampas sejumlah wang tunai, barangan kemas bernilai RM10,000, dua kereta Proton Wira dan motosikal berjumlah lebih RM54,000.

"Rampasan ini adalah yang terbesar di Melaka setakat ini dan jumlah bahan terlarang yang dirampas dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 260,000 penagih," katanya.


MOHMAD (tiga dari kanan) bersama Jalil (tiga dari kiri) serta pegawai polis menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan.

Mohmad berkata, pihaknya percaya semua dadah berkenaan untuk pasaran di sekitar negeri ini dan ia dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui berapa lama sindiket ini menjalankan kegiatan pengedaran dadah, selain laluan digunakan mereka.

“Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati empat daripada lapan suspek itu positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mohmad berkata, semua suspek direman selama seminggu sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 5:14 PM