MASYARAKAT Tionghua diraikan pada Program Masjid Terbuka Sempena Tahun Baru Cina anjuran jawatankuasa Masjid Jamek Tasek Gelugor di Masjid Jamek Tasek Gelugor. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


BUAT pertama kalinya, masjid Tasek Gelugor menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi meraikan masyarakat Tionghua yang menetap di kawasan sekitar.

Walaupun majlis yang dianjurkan Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tasek Gelugor ringkas dan sederhana, namun sambutannya tetap meriah apabila dihadiri masyarakat berbilang bangsa.

Bagi penyelia kilang, Tan Chooi Teit, 51, berkata, dia gembira sebaik menerima jemputan daripada pihak kariah masjid yang menganjurkan program untuk meraikan perayaan kaumnya.

Katanya, jemputan itu amat bermakna bagi dirinya yang gemar melihat seni bina masjid kerana keunikannya, namun tidak berpeluang mengunjunginya kerana bimbang tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan berkenaan.

“Saya sudah lama mahu masuk ke perkarangan masjid bagi melihat seni binanya, namun teragak-agak sama ada boleh masuk atau tidak kerana tidak mahu ada isu yang berbangkit kelak.

“Apabila mendapat jemputan ini, saya begitu terharu dan tidak sangka akhirnya dapat melihat suasana yang tidak pernah dirasai sebelum ini apatah lagi saya diraikan dengan cukup mesra,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi jurulatih kecergasan, Ooi Chooi Beng, 36, berkata, keunikan masjid mendorong dirinya mendekati agama Islam hingga mengambil langkah memeluk agama suci itu sejak lima bulan lalu.

“Sebelum saya memeluk Islam, saya menganggap bahawa masjid hanya untuk Muslim sahaja dan tidak berani menghampirinya walaupun saya teringin sangat untuk masuk .

“Menyedari fungsi masjid begitu luas, secara tidak sedar saya mula mempelajari mengenai Islam dan terus memeluk agama ini bersama keluarga selepas tertarik dengan ajaran yang membawa manusia menuju ke arah kebaikan,” katanya.

Jelasnya, inisiatif yang diambil pihak kariah masjid dalam menganjurkan program dengan meraikan orang bukan Muslim patut dicontohi serta diperbanyakkan pada masa akan datang berikutan manfaatnya yang begitu luas serta menyekat salah faham terhadap institusi masjid.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Tasek Gelugor, Khairul Anuar Musa berkata, penganjuran program berkenaan adalah satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya dalam usaha membuka minda bahawa tempat beribadat itu bukan untuk umat Islam semata-mata.

"Masjid boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama selagi ia tidak bercanggah serta bertentangan dengan syariat Islam.

“Penganjuran program seperti ini selagi ia berlangsung dalam keadaan baik dan mengikut ajaran, maka tidak menjadi masalah bahkan dapat menyebarkan keindahan agama Islam kepada kaum dan agama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 11:54 AM