MOHD Wazir (gambar kecil)
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
news@nstp.com.my


PERKENALAN ibu tunggal dengan seorang lelaki selama 18 hari sehingga termakan pujukan mendapat hadiah membawa padah apabila diperdaya sebanyak RM15,200 oleh sindiket ‘Love Scam’, Khamis lalu.

Mangsa, 54, dikatakan berkenalan dengan lelaki menggunakan nama Mohd Fazli Hassan di laman sosial Facebook pada 29 Januari lalu sebelum terpedaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati wanita itu mengenali suspek yang mendakwa berasal dari Singapura serta bekerja di Scotland menerusi Facebook.

Katanya, mangsa dimaklumkan suspek pada Rabu lalu bahawa dia akan mengirimkan hadiah iaitu dua komputer riba, telefon pintar berjenama, gelang berlian, beg tangan, minyak wangi berjenama dan barangan kemas.

“Keesokannya ibu tunggal itu menerima panggilan telefon daripada pegawai kastam yang memperkenalkan diri sebagai Lia bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meminta wang bagi memproses penghantaran bungkusan hadiah.

“Tanpa menyiasat kesahihan panggilan itu, mangsa mendepositkan wang berjumlah RM15,200 atas akaun ‘Devinraj Dennis’,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa menyedari diperdaya selepas tidak menerima bungkusan hadiah yang dijanjikan, selain lelaki yang dikenali di Facebook menghilangkan diri.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Katanya, wanita itu dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam yang aktif memperdaya kalangan wanita di laman sosial dengan menggunakan kata-kata manis selain menawarkan pelbagai hadiah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai kakitangan kerajaan untuk meminta wang bagi membolehkan sesuatu bungkusan dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:42 PM