Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Malam Tahun Baru Cina menjadi detik hitam bagi seorang otai dadah apabila berdepan hukuman mati selepas ditahan dalam Op Selamat 12 Tahun Baru Cina di Jalan Kuching dari Bulatan Segambut di sini, kelmarin.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin bermula jam 11.30 malam, lelaki berusia 38 tahun yang memiliki 14 rekod jenayah lampau itu ditahan bersama seorang wanita warga Vietnam dipercayai teman wanitanya ketika memandu kereta BMW yang dipercayai kenderaan klon.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, semakan ke atas nombor casis kenderaan yang dipandu suspek mendapati ia tiada dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak pernah didaftarkan di negara ini.


SUSPEK (tengah) yang ditahan kerana bawa dadah turut memiliki 14 rekod jenayah.

“Sebaik ditahan suspek mengaku kenderaan itu milik rakannya dan bagi membuat siasatan lanjut, kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan kenderaan itu membawa kepada penemuan dadah yang disembunyikan di beberapa bahagian dalam kereta berkenaan.

“Kami menemui 11 peket dadah ketamin seberat 22.6 gram, methamphetamine 26.3 gram, 200 pil ekstasi seberat 54.8 gram yang disimpan di dalam kereta, satu sampul ang pow berisi 100 pil ekstasi 27.1 gram dan satu peket dadah ketamin 1.2 gram dalam beg silang suspek lelaki,” katanya.

Menurutnya, semua dadah bernilai RM8,000 itu dipercayai untuk diedarkan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Saringan air kencing ke atas kedua-duanya mendapati pasangan itu positif methamphetamine.

“Suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala wanita itu ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.


DADAH yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 8:26 AM