MASLINDA menjaga anaknya, Muhammad Nazaruddin di HTJS.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak mahu bantuan lain, hanya sebuah rumah untuk berteduh kerana selagi tiada tempat tinggal selesa saya tidak boleh membawa pulang Naza dari hospital,” kata ibu tunggal Maslinda Abd Rahman, 44.

Dia bersama anak kelimanya Muhammad Nazaruddin Roslan, 11, yang menghidap Cerebral Palsy (CP) kini menghuni wad pediatrik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan sejak lebih tiga bulan lalu berikutan tiada tempat tinggal.

Maslinda bersama anak perempuannya Putri Aleeya Maisarah, 15, kini menyewa di sebuah surau yang diubah suai menjadi bilik kecil di Rumah Pangsa Rakyat Pajam, Country Heights, Mantin, Negeri Sembilan RM300 sebulan.

Maslinda berkata, selepas berita mengenainya dipaparkan akhbar ini kelmarin, ada pihak yang menyatakan mahu membantu.

“Buat masa ini saya hanya menunggu dengan sabar dan berharap permohonan rumah diluluskan segera.

“Saya tidak kisah rumah diberikan kecil atau mempunyai satu bilik, asalkan saya dapat tempatkan Naza di rumah dan mengambil tiga anak lain dengan bekas suami,” katanya.


LAPORAN Harian Metro 16 Februari lalu.

Katanya, dia sudah penat turun naik pejabat Menteri Besar untuk meminta rumah dan sehingga sekarang tiada jawapan.

“Saya adalah seorang ibu tunggal enam anak, ketika ini saya terpaksa berpisah dengan anak lain kerana tidak mempunyai rumah.

“Harapan saya hanya satu, untuk mendapatkan rumah demi meneruskan hidup dengan lebih baik selepas diceraikan. Saya juga sudah mempunyai perancangan lain, sekiranya ada rumah sendiri saya terfikir untuk menjaga anak orang untuk memperoleh pendapatan sampingan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak boleh melakukan pekerjaan lain kerana anaknya Naza memerlukan pengawasan 24 jam.

Orang ramai yang ingin membantu wanita ini boleh menghubunginya di talian 01111427864.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 8:09 AM