LELAKI yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ketika memancing.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
news@nstp.com.my

Rembau: Lelaki berusia 40-an lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ketika memancing di kolam rawatan air di Kampung Sawah Raja, Kota di sini, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari berkata, orang awam menghubungi pihaknya jam 10.55 pagi memaklumkan menemui mayat terapung di kolam terbabit.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan membawa naik mayat berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, lelaki ini dipercayai memancing seorang diri pada malam sebelum kejadian.

“Dia yang berada di tepi tebing diserang sakit jantung sebelum terjatuh ke dalam kolam.

“Pemeriksaan pada tubuh mayat tidak menampakkan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

“Mayat dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Katanya, motosikal mangsa jenis Honda EX5 turut ditemui di lokasi.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan serangan jantung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:55 AM