Adie Suri Zulkefli; Muhaamad Hafis Nawawi; Aizat Sharif dan Hamzah Osman
news@nstp.com.my


PERDANA MENTERI , Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan satu jeti baru di Kuala Teriang, Langkawi dengan peruntukan sebanyak RM500,000 serta meluluskan peruntukan RM3.2 juta untuk membina benteng pemecah ombak tambahan sepanjang 100 meter di kawasan tambatan bot nelayan di Jeti Chenang, Langkawi.

Najib berkata, pembinaan jeti baru itu akan memberi manfaat kepada 310 nelayan dengan 120 sampan yang berlabuh di kawasan berkenaan.

"Selain itu, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sudah membuat permohonan kepada Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) pada tahun lalu dan melihat terdapat keperluan untuk membina pemecah ombak (wavebreaker) tambahan sepanjang 100 meter bagi mengukuhkan pemecah ombak sedia ada.

"Sehubungan itu, kerajaan sudah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi menyelesaikan masalah gangguan angin dan ombak kuat yang dialami oleh nelayan di kawasan tambatan bot nelayan jeti Chenang ini," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh nelayan tempatan.


NAJIB beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Sepetang Bersama Nelayan dan Perasmian Lampu Jalan Kampung TNB peringkat Nasional. FOTO Azhar Ramli

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sepetang Bersama Nelayan dan Peyerahan Lampu Jalan (LJK) 2017 Peringkat Parlimen Lngkawi dan Nasional di Kompleks Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chenang di Langkawi, hari ini.

Katanya, dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan nelayan di Langkawi, sebanyak RM3.05 juta sudah disalurkan kepada 868 nelayan di Langkawi dalam bentuk Elaun Sara Hidup bulanan.

"LKIM juga sudah memperuntukkan bajet yang sama pada tahun ini kepada nelayan yang menerima bantuan ini di Langkawi.

"Selain itu juga, nelayan di sini juga sudah menerima bayaran insentif pendaratan RM0.10 per kilogram sebanyak RM172,546 bagi tahun lalu dengan sejumlah RM2.81 juta sudah dibayar semenjak tahun 2013.

"Bagi memberi keselesaan kepada keluarga nelayan, LKIM juga meluluskan sebanyak RM3.87 juta kepada 335 orang nelayan seluruh Langkawi bagi bantuan baikpulih rumah nelayan dan bantuan bina baharu rumah nelayan semenjak tahun 2013," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah memperuntukkan sebanyak RM33.26 juta untuk pembangunan dan kemudahan nelayan di Langkawi seperti pembinaan Jeti LKIM Nelayan Chenang, pembinaan penghadang ombak di Kuala Teriang, membaiki rumah nelayan, pembinaan jeti nelayan Kilim, menaiktaraf Kompleks LKIM Penarak dan banyak lagi.

Dalam majlis yang sama juga, Najib turut melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung yang diselenggarakan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB), selaku agen pelaksana projek.

"Inisiatif yang dibangunkan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta ini membolehkan penduduk menikmati manfaat dan di Parlimen Langkawi sahaja, sebanyak 537 lampu jalan kampung sudah mula dipasang pada bulan Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya pada bulan 27 Oktober tahun yang sama.

"Kemudahan ini memberi manfaat kepada hampir 53,500 orang penduduk dari 107 buah kampung dan apabila siap terpasangnya 8,086 unit lampu jalan kampung dengan kos pemasangan sebanyak RM6.12 juta di kesemua 15 kawasan parlimen di Kedah ini, saya yakin, negeri Kedah kini semakin terang-benderang dilimpahi cahaya tanda harapan dan kejayaan," katanya.


NAJIB menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Langkawi, Mahadzir Ibrahim (kanan) ketika Majlis Sepetang Bersama Nelayan dan Perasmian Lampu Jalan Kampung TNB peringkat Nasional. FOTO Azhar Ramli

Sementara itu dalam majlis berkenaan, hampir 1,000 nelayan di kawasan berkenaan hadir dan menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 serta barangan keperluan makanan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 8:29 PM