ANGGOTA AADK melakukan ujian air kencing ketika operasi bersepadu di Jalan Lintas Labuk. FOTO ihsan AADK
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


“Bosku, aku mau cepat pulang, anakku sakit bah ini, tolonglah,” kata seorang bapa bagi mengelak diperiksa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Jalan Lintas Labuk, berdekatan simpang ke Kampung Melayu Batu 8, Sandakan, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 3 petang itu, suspek berusia 35 tahun itu didapati positif dadah dan ditahan selepas helahnya gagal.

Ketua AADK Sandakan, Aisyah Abdul Karim berkata, sebelum itu pihaknya bersama agensi keselamatan lain sedang menjalankan operasi bersepadu dengan sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

“Lelaki berkenaan yang menunggang motosikal menuju ke arah Batu 12 kemudiannya diminta berhenti untuk menjalani ujian air kencing.

“Sebaik diperiksa, air kencing penunggang motosikal itu didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aisyah berkata, suspek sebelum itu cuba memberikan alasan ingin meneruskan perjalanan segera.

“Lelaki terbabit memberikan alasan ingin cepat meneruskan perjalanan kerana mahu mengambil anaknya yang demam untuk dihantar ke hospital.

“Namun helahnya gagal malah ujian air kencingnya mendapati dia positif dadah,” katanya.

Dalam operasi itu katanya, dua lagi lelaki berusia 19 dan 40 tahundicekup kerana positif dadah.

“Sepanjang op ini, kami memeriksa 12 individu termasuk yang ditahan. Bagaimananapun, tiada rampasan dadah dibuat dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:34 PM