SEBAHAGIAN yang ditahan AADK Manjung dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya di Seri Manjung.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Seri Manjung: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan empat sahabat dan remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya di sini, malam kelmarin.

Kelima-lima mereka yang menaiki kereta mendakwa baru pulang dari Lumut ketika ditahan di jalan raya Lumut-Sitiawan pada jam 10.30 malam.

‎Pegawai AADK Manjung Sharudin Abdul Salam berkata, lima individu itu memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri daripada menjalani ujian air kencing.

‎“Mereka memberikan alasan sudah membuang air sebelum itu dan tidak membawa MyKad, namun pemeriksaan dalam kereta menemui kad pengenalan diri dan sebotol ubat batuk yang didakwa milik seorang daripada mereka yang dikatakan kurang sihat.

“Kelima-limanya juga mendakwa mahu ke Sitiawan untuk makan, namun kami mengesyaki sebenarnya mereka mahu ke pusat hiburan berhampiran,” katanya, semalam.

Sharudin berkata, kelima-lima individu itu dibawa ke pejabat AADK selepas melihat riak muka dan tingkah laku mereka seperti baru mengambil dadah.

‎ “Ketika memberikan alasan, riak wajah remaja perempuan itu ketakutan dan kami mengambil masa hampir tiga jam memujuk mereka.

‎ “Dalam situasi ini, kami menggunakan pendekatan psikologi dan hasil soal siasat, mereka mengakui baru mengambil dadah, malah baru mengenali remaja perempuan itu dan ia kali pertama mereka keluar bersama,” katanya.

‎Katanya, ujian awal air kencing mendapati remaja perempuan dan empat rakan lelaki berusia 22 dan 23 tahun itu positif dadah methamphetamine atau syabu.

‎ “Tiada dadah yang ditemui dan mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

‎ Sharudin berkata, ‎operasi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia yang bermula pada jam 8 malam dan berakhir tiga jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:03 AM