KEADAAN mangsa yang cedera akibat melecur pada anggota badan di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


LELAKI melecur pada kaki dan badan selepas sebuah tong dram yang sebelum ini mengandungi alkohol meletup di sebuah bengkel di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.40 pagi, mangsa, 25, dipercayai sedang melakukan kerja memotong tong dram berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka Mohd Rezuan Adnan berkata, ketika melakukan kerja pemotongan itu, tong dram terbabit dikatakan tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa melecur.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada 11.53 pagi dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati tong dram berkenaan pada asalnya berisi alkohol, namun ia sudah kosong sebelum mangsa mahu memotongnya.

“Bagaimanapun, tong dram berkenaan meletup dipercayai akibat tindak balas dengan api kerja kimpalan yang dilakukan mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 6:55 PM