PEGAWAI penguat kuasa KPDNKK memeriksa barangan tiruan yang dirampas di Jalan Petaling.
HM Digital

Kuala Lumpur: Masih berdegil menjual barangan jenama terkemuka ciplak walaupun sudah beratus kali diserbu pihak berkuasa.

Itu antara gelagat peniaga sekitar Jalan Petaling di sini, yang aktif menjalankan perniagaan haram berkenaan walaupun menyedari risiko yang bakal ditanggung.

Malah mereka dikesan meletakkan kumpulan tonto lengkap dengan alat perhubungan walkie talkie di setiap sudut pusat tumpuan pelancong itu.

Bagaimanapun taktik itu sedikit pun tidak menakutkan penguat kuasa apabila 234 unit barangan tiruan menggunakan jenama Yves Saint Laurent (YSL)dan Gucci keseluruhannya bernilai RM7,120 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melalui Ops Barang Tiruan, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, dalam operasi itu, enam kedai termasuk stor simpanan barangan tiruan diserbu.

“Operasi diadakan bersama wakil pemilik cap dagangan di negara ini yang mengadu mengenai aktiviti penjualan barangan ciplak di Jalan Petaling menggunakan jenama milik mereka,” katanya pada program Perlaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2018 di pasaraya NSK, Cheras pagi semalam.

Hadir sama Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Ummi Nasrah Othman.

Wan Mhd Yusof berkata, semua premis yang diserbu itu ditinggalkan kosong tanpa penjaga dipercayai selepas dimaklumkan kumpulan tonto terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:38 AM